Tuesday 11 June 2013

SEJARAH AWAL NEGERI SEMBILAN


 

 

Sebelum penjajah barat menakluki alam Melayu ini, beberapa buah kerajaan yang masyhur telah bertapak kuat dalam rantau dan daerah tertentu seperti kerajaan Sri Vijaya yang berpusat di Palembang, Majapahit, Bugis, Riau Lingga, Pasai, Acheh, Temasek, Melaka dan lain-lain. Semua negeri-negeri ini diperintah oleh raja-raja Melayu yang berdaulat dalam negerinya masing-masing.

 

Tetapi akibat 'telunjuk lurus kelengkeng berkait' penjajah barat baik Portugis, Belanda, Inggeris mahupun Amerika yang pada awalnya hendak berdagang akhirnya sedikit demi sedikit negeri-negeri Melayu ini telah menjadi tanah jajahan berabad-abad lamanya.

 

Tuduhan-tuduhan dari orang-orang barat yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu berkebudayaan lanun seperti yang pernah kita dengar beberapa tahun yang lalu adalah semata-mata karut dan sengaja direka dengan maksud dan niat serta bertujuan jahat.

 

Orang-orang Melayu telah bertamadun sejak beribu tahun yang lalu. Selain daripada dapat mengatur dan mentadbir negaranya sendiri sesuai dengan keadaan waktu itu, nenek moyang kita juga telah biasa mengharungi samudera luas seperti Lautan Hindi, Laut China dan sekitar Lautan Pasifik Selatan selain dari laut alam Melayu dengan menggunakan kapal-kapal layar yang besar yang mereka bina sendiri.

 

Mereka bukan saja membuat perhubungan dengan negeri China, sebelah timur, malah dengan negara yang lebih bertamadun dan kuat di barat yang kita kenal dengan nama Benua Rom.